Rencana daripada saudara Daeng Ramliakil (Selangorkini)

Meneruskan perjuangan SN Dr.Usman Awang (Allahyarham)

Nukilan Daeng Ramliakil

21 April hingga 30 April 2016, bertempat di Galeri My Star Tea City, Kompleks Sun, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur ada majlis pameran-jualan 20 buah lukisan moden berukuran 4×4 kaki. Semua karya bernama, iaitu tafsiran Usman Awang pada Kasih 1, 2, Cinta Uda & Dara, Sahabat, Duniawi, Mata-mata/Polis, Anjing milik pengawal, Keberanian, Bangsa/Kaum, Si tua miskin, Pejuang, Alam, Pesanan, Ibu/Wanita, Teka-teki kehidupan, Tipu helah sebangsa, Melihat Melayu, Mogok, Semangat, Pembelaan, Tanah air & Perang. Dua daripadanya sudah menjadi koleksi Dr.Azman Ismail dan SN Dr.Anwar Ridhwan.

Majlis pelancaran pada 21 April jam 10 pagi yang dirasmikan oleh YH Dr.Syed Husin Ali, dihadiri Pengasas/Penaung Yayasan Usman Awang, Saudara Kai Hee, ahli lembaga penasihat, Tan Sri Kamarul Arifin, Datuk Faridah Merican, Datin Sunita, SN Dr.Anwar Ridhwan dan Saudara Dinsman, juga enam wakil akhbar berbahasa Cina. Wakil media berbahasa Melayu dan Inggeris ‘lupa’ hadir. Apa pun, perjuangan Pak Usman Awang diteruskan menerusi lukisan moden.

Apakah rasional saya memilih subjek siri 22 buah lukisan ini? Saya amati, sejak menjadi mata-mata lagi, Pak Usman sudah menghormati kemanusiaan. Sementelahan sejak beberapa tahun, khusus tahun 1998, ribuan peristiwa antikemanusiaan dihalalkan terjadi di bumi Malaysia, maka saya dan para sahabat wajib proaktif terhadap pembanterasan semua unsur negatif khusus dalam kehidupan rakyat.

Dinsman sudah melangsungkan Teater Atas Pokok yang disokong penuh YB Menteri Besar Selangor, YAB Haji Azmin Ali. Bagi saya, merealisasikan lukisan moden berupa tafsiran perjuangan Pak Usman sangat mudah apabila disokong Saudara Kai Hee. 50% daripada jualan saya sumbangkan kepada Yayasan Usman Awang. Simboliknya, saya ‘mengetuk’ pintu hati (pintu otak) sejumlah menteri Melayu jutawan (jika tidak pun bilioner).

Mata-matanya Pak Usman tetap celik. Tipu helah sebangsa dialami Pak Usman membabitkan orang media yang amat mengampu PM dan orang yang sama turut menganiaya Allahyarham Pak Sako (dibisiknya kepada saya sebulan sebelum meninggal). Kini, 2016, ribuan kejadian bersifat muslihat terjadi sebangsa, khususnya sesama Melayu, dan sebahagian media dicelakakan fungsinya. Tidak hairan kini, hampir semua karya sastera akhbar dan majalah (juga novel/drama) bersifat lipur lara yang mendungukan minda bangsa.

Sesungguhnya, karya seni tidak sempurna andai kosong daripada unsur didaktik atau pengajaran. Dan, Qur’an serta Hadis Nabi Muhamad tetap kaya lagi sempurna pengajarannya.

Gambar 20 buah lukisan yang telah dilukis oleh saudara Daeng Ramliakil. Di mana setiap jualan lukisan ini, sebanyak 50% akan disumbangkan kepada Yayasan Usman Awang.

« 1 of 2 »

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *