Saudara Syed Husin berkongsi gambar Usman Awang

Saudara Syed Husin Ali (kiri) menunjukkan gambar-gambar lama beliau bersama Usman Awang kepada Hoong Ling

Saudara Syed Husin Ali (kiri) menunjukkan gambar-gambar lama beliau bersama Usman Awang kepada Hoong Ling

Yayasan Usman Awang sedang giat mengumpul bahan-bahan untuk Pusat Sumber Usman Awang termasuk gambar-gambar lama, buku-buku Usman Awang, keratan akhbar, penulisan, artikel atau bahan-bahan yang berkaitan dengan Usman Awang.

Setakat ini Pusat Sumber Usman Awang berjaya mengumpulkan 20 buah buku Usman Awang, lain-lain buku yang berkaitan sebanyak 26 buah, 9 artikel, 6 surat-surat Usman Awang dan 1 cakera padat yang mengandungi rakaman bacaan puisi oleh Usman Awang sendiri.

Hari ini, Saudara Syed Husin Ali datang ke pejabat bersama gambar-gambar lama Usman Awang untuk disumbangkan kepada Pusat Sumber Usman Awang. Gambar-gambar tersebut akan diimbas, disimpan salinan digital dan gambar asal akan dikembalikan kepada pemilik gambar.

Sesiapa yang mempunyai bahan-bahan yang berkaitan dengan Usman Awang dan berminat untuk menyumbangkannya untuk memperkayakan koleksi ini, sila hubungi kami.

Mesyuarat Agung Tahunan Yang Pertama

(Berdiri, dari kiri) Mayawati Usman Awang, Datin Sunita Rajakumar, Tan Keng Kang, Nancy Ng, Ann  Voon (Duduk, dari kiri) Tan Kai Hee, Khair Ngadiron, Dato' Faridah Merican, Haslina Usman Awang, Dr Syed Husin Ali, Datuk Anwar Ridhuan, Dr Lim Swee Tin

Bergambar selepas mesyuarat penasihat Yayasan Usman Awang
(Berdiri, dari kiri) Mayawati Usman Awang, Datin Sunita Rajakumar, Tan Keng Kang, Nancy Ng, Ann Voon
(Duduk, dari kiri) Tan Kai Hee, Khair Ngadiron, Dato’ Faridah Merican, Haslina Usman Awang, Dr Syed Husin Ali, Datuk Anwar Ridhuan, Dr Lim Swee Tin

Hari bermesyuarat – Mesyuarat Agung Tahunan yang pertama Yayasan Usman Awang telah diadakan hari ini di Kompleks Sun dan disertai oleh semua ahli lembaga amanah dan ahli-ahli berdaftar Yayasan Usman Awang. Ahli Lembaga Amanah Yayasan Usman Awang terdiri daripada Dr Lim Swee Tin, Datin Sunita Rajakumar, Tan Keng Kang, Tuan Khair Ngadiron (ITBM) dan Mayawati Usman (puteri Usman Awang).

Sejurus selesai, satu lagi mesyuarat telah diadakan bersama ahli-ahli penasihat Yayasan Usman Awang. Pelbagai perkara telah dibincangkan termasuk aktiviti-aktiviti Yayasan Usman Awang. Turut hadir adalah puteri Usman Awang, Haslina Usman; Dato’ Faridah Merican, En Tan Kai Hee, Dr Syed Husin Ali yang mempengerusikan mesyuarat, Sasterawan Negara Datuk Anwar Ridhuan, Ketua Pegawai Eksekutif YUA, Chew Hoong Ling; setiausaha syarikat, Nancy Ng dan pembantu tadbir, Ann Voon.

Sehari di Tanjung Sedili

Usman Awang dilahirkan di Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor. Semasa perjalanan pulang dari Singapura setelah selesai penyelidikan di Arkib Negara Singapura, pihak Sekretariat Yayasan Usman Awang telah singgah ke kampung itu dan sempat merakamkan gambar.

Kami juga sempat merakam gambar Jalan Dato’ Usman Awang berdekatan dengan jeti ke Sedili Besar.